Entri Populer

Selasa, 27 Desember 2011

Taman Rusa


Ternakan Rusa Di Pedu
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mula melaksanakan projek ternakan rusa di Empangan Pedu pada tahun 1994 di kawasan seluas 2.6 ha. Daripada kawasan ini juga disediakan sebanyak 10 "paddock" untuk kawasan tanaman rumput. Rusa-rusa yang dipelihara ini akan dibiarkan meragut rumput-rumput yang ditanam mengikut giliran ‘paddock’ disamping memberi makanan tambahan berbentuk "pellet".
Terdapat dua objektif utama projek ini, iaitu menjadikan kawasan di Pedu ini sebagai tambahan untuk daya tarikan pelawat dan pelancong di samping tarikan lain yang ada dan sebagai tempat untuk pembelajaran, penyelidikan dan pemerhatian terutamanya kepada pelajar-pelajar.
Bilangan rusa di Empangan Pedu 134 ekor rusa (43 ekor jantan dan 91 ekor betina), Muda Resort 25 ekor rusa, (9 ekor jantan dan 16 ekor betina), Ibu Pejabat MADA 7 ekor rusa, (1 ekor jantan dan 6 ekor betina), Dark house’ rusa di Empangan Pedu dan Penjualan rusa hidup dan daging rusa

Jenis-Jenis Rusa
Pada permulaannya projek ini sebanyak 10 ekor rusa jenis Cervus timorensis telah dimasukkan ke kawasan ini. Rusa ini diambil daripada Pusat Ternakan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Behrang Ulu, Perak. Kemudian pada tahun 1997 sebanyak 4 ekor rusa jenis rusa sika (Cervus nippon) telah dibeli daripada perladangan haiwan swasta di Gunung Jerai dan seterusnya pada penghujung tahun 2001 pula seekor rusa jenis sambar (cervus unicolor) di beli daripada Zoo Melaka.

Daripada catatan rujukan didapati terdapat 40 keluarga rusa yang diketahui sehingga sekarang termasuk jumlah bilangan sub spesisnya. Antara jenis-jenis rusa yang diternak terdiri daripada spesis Red Deer (Cervus elapus), Wapiti atau Elk, Fallow Deer (Dama-dama), rusa sika (Cervus nippon), rusa chital (Axis-axis) dan yang biasa dan diternak secara meluas ialah rusa timor (Cervus timorensis). Di Malaysia terdapat juga rusa yang liar yang dikenali sebagai rusa sambar (cervus unicolor) dan dilindungi kerana populasinya yang semakin berkurangan.

Penyediaan Kawasan
Pemagaran Kawasan

Pemagaran kawasan ternakan hendaklah menggunakan pagar jenis "cyclone tight lock" yang mempunyai ketinggian 6 kaki. Kemudian di bahagian atas pagar ini ditambah lagi dua lapisan dawai (plain wire) bagi menambah ketinggian kepada 8 kaki. Beberapa "paddock" perlu dibuat bagi kawasan ternakan kerana dapat memudahkan pengurusan ternakan dan mengawal tanaman rumput yang ditanam sebagai makanan utama rusa. Oleh itu rusa-rusa akan dipindahkan daripada satu paddock kepada paddock lain apabila rumput di dalam paddock berkenaan telah berkurangan untuk diragut dan ini dapat menjamin kepada pertumbuhan rumput yang baik dan memudahkan pengurusan.

Penyediaan Tanah
Selepas kerja-kerja pemagaran selesai dibuat maka putaran tanah dilakukan untuk menabur benih-benih rumput. Selepas putaran pertama dilakukan baja ‘Christmas Island Rock Phospate’ (CIRP) dan ‘Mirate of Potash’ (MOP) ditabur. Kadar CIRP ialah 375 kg/ha dan MOP ialah 75 kg/ha. Kemudian putaran kedua dilakukan bagi menggaulkan baja-baja tersebut dengan tanah.

Menabur Benih Rumput
Rumput yang dicadang untuk ditanam bagi ternakan rusa adalah dari jenis campuran "guinea grass" (panicum maximum) dan "green panic", Brachiaria decumbens dan Brachiaria humidicola. Kadar benih yang ditabur adalah diantara 8 kg hingga 10 kg sehektar. Rumput jenis Brachiaria decumbens dan Brachiaria humidicola ini mempunyai ketahanan terhadap ragutan rusa, cepat pulih semula selepas rusa dimasukkan, tidak memerlukan banyak penyelenggaraan dan adalah jenis menjalar yang dapat memenuhi kawasan tanaman dengan sepenuhnya.

Pembajaan
Pembajaan yang disyorkan bagi rumput pastura dalam setahun ialah:
UREA (N) = 375 kg/ha
Rock Phosphate (P) = 375 kg/ha
Mirate of Potash (K) = 75 kg/ha

Baja UREA biasanya diberi antara 4 hingga 6 kali setahun. Ujian keatas rumput juga mesti dilakukan bagi mengetahui kandungan nilai nitrogen (N) yang ada. Nilai N dalam rumput mesti tidak melebihi daripada 15%. Nilai N yang tinggi boleh menyebabkan rusa menjadi sakit perut atau cirit-birit. Rock Phosphate biasanya diberi 2 kali setahun manakala Mirate of Potash hanya perlu diberi sekali setahun.

Penjagaan Rusa
Rusa timor (Cervus timorensis) didapati dapat menyesuaikan diri dengan iklim di Malaysia dengan cepat berbanding dengan lain-lain varieti. Penyelidikan dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan mendapati antibodi haiwan tersebut amat kuat sehinggakan ia tidak perlu diberi suntikan pencegahan. Pemeliharaan rusa secara besar-besaran adalah lebih menguntungkan kerana didapati seorang pekerja boleh menjaga antara 300 hingga 500 ekor rusa. Tetapi beberapa perkara penting dari berbagai aspek perlu juga dilihat untuk ternakan rusa seperti pengurusan pastura, patology, pembiakan dan juga pemilihan penternak yang betul-betul berminat. (New Straits Times 3/3/95 - "Lifestyle – The healthy alternative")
Makanan
Rusa adalah sejenis haiwan herbivor yang dikategorikan sebagai haiwan yang mempunyai sistem pemindahan makanan yang sangat efisyen. Rutin makanan rusa adalah mudah kerana selain diberikan makan rumput ataupun bebas meragut ia juga boleh diberikan makanan tambahan iaitu bijian palet yang dicampur dengan multi-vitamin. Lain-lain daun tumbuhan juga boleh diberi sebagai makanannya melalui sistem potong dan bawa (cut and carry) seperti daun petai belalang, daun ubi, Acacia, Hibiscus, nangka, cempedak, lundai, ara dan lain-lain makanan seperti roti, pisang dan betik.

Pembiakan
Aktiviti pembiakan rusa sangatlah aktif kerana seekor rusa telah bersedia untuk mengawan ketika mencapai umur antara 18 hingga 20 bulan. Seekor rusa jantan mampu membuntingkan kira-kira 20 hingga 25 ekor rusa betina dalam satu jangkamasa dengan kadar kelahiran 70% anak rusa. Kajian yang dibuat menunjukkan empat ekor rusa jantan berjaya membuntingkan kira-kira 100 ekor rusa betina dengan kadar kelahiran sebanyak 77 ekor anak rusa. (Utusan Malaysia 16/2/98 – Rusa senang dipelihara, sukar diserang penyakit)

Rusa betina akan matang apabila berumur antara 18 hingga 20 bulan manakala rusa jantan pula apabila mencapai umur antara 2 hingga 3 tahun. Tempoh pusingan haid bagi rusa timor ialah 18.3 hari dan tempoh hamil pula ialah 235 hari. Biasanya rusa akan menghasilkan hanya seekor anak sahaja pada suatu masa dan kejadian kembar sangatlah jarang berlaku. (Risalah Mutakhir UUM, Jilid 9, bil 3 – 18/2/95)

Daging Rusa
Daging rusa terkenal sebagai makanan yang berkhasiat, berprotein tinggi, kurang lemak, kandungan kolesterol yang rendah dan menepati citarasa baru.

Harga daging rusa buat masa sekarang dipasaran adalah sekitar RM28.00 hingga RM30.00 sekilo tetapi sebelum rusa timor banyak diternak di Malaysia harga daging rusa import iaitu dari Fallow Deer ialah antara RM40.00 hingga RM50.00 sekilo. Harga ini adalah mahal jika dibandingkan dengan daging lembu dan ini membuatkan daging rusa kurang mendapat sambutan walaupun diketahui khasiat daging rusa lebih baik.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar